Friday, 19 September 2014

Vespa

Mendengar nama 'Vespa' pasti terbayang difikiran anda dengan bunyinya yang bising dihiasi reka bentuk yang unik bergaya retro mengundang perhatian setiap sudut setiap kali dijalanan.

SEJARAH VESPA
Vespa ialah satu jenama skuter keluaran Itali yang diusahakan oleh syarikat Piaggio Vespa telah berevolusi daripada skuter bermotor ekamodel yang dikilangkan pada tahun 1946 oleh Piaggio & Co. S.P.A. dari Pontedera, Itali kepada satu aneka skuter dan salah satu daripada tujuh syarikat milik Piaggio. Kini pengeluar kenderaan dwiroda yang terbesar di Eropah dan pengeluar motosikal keempat terbesar di dunia dari segi jualan unit.

Semenjak mula beroperasi, skuter jenama Vespa dikenali dengan badan keluli tertekan dan bercat yang menggabungkan penutup enjin yang selengkapnya (menutup mekanisme enjin dan meliputi kotoran atau gris), papan lantai yang leper (untuk perlindungan kaki), dan reraut depan yang menonjol (untuk perlindungan daripada angin) ke dalam satu unit struktur.

Dari sebuah besi buruk tersadai kini menjadi skuter besi yang unik idaman remaja masa kini!

Sungguh bertuah kepada sesiapa yang masih memiliki skuter besi ini walaupun buruk dimamah usia. Termasuk saya yang mewarisi sebuah vespa usang dari bapa yang tersadai lama setelah ditenggelami banjir dan hampir dijual menjadi besi buruk. Disaat itu timbulnya tekad didalam diri ini untuk membina semula dan mengembalikan keunikan vespa ini seperti mana vespa-vespa lain dijalanan.



Justeru , bermulanya penghantaran vespa usang ini ke sebuah kedai cat yang berpengalaman dalam bidang membaik pulih 'body' dan mengecat vespa dengan idea yang melampirkan gabungan dua warna 'pearl white' dan 'blood red' menaikkan lagi keunikan vespa ini lain dari vespa-vespa lain.



Dua minggu berlalu, hasil yang di idam-idamkan tercapai seperti vespa yang baru dikilangkan. Namun masih banyak lagi pembaikian yang perlu dilakukan seperti membaik pulih enjin dan memasang kelengkapan aksesori lain. Vespa ini kemudiannya dihantar ke sebuah bengkel membaik pulih enjin dan menghias vespa.


Dengan mekanik yang sangat berpengalaman dalam bidang vespa selama 30 tahun ini, vespa ini berjaya dipulihkan sepenuhnya dengan tambahan aksesori krom seperti cermin sisi, 'body guard', 'double legshield' dan lain-lain bagi menaikkan keunikan vespa berkombinasikan dua warna ini.


Bagai mimpi menjadi kenyataan, sukar untuk digambarkan vespa yang dahulunya hanya sebuah besi buruk kini tersergam indah mengembalikan zaman kegemilangannya.

23-29 Mac 2014, buat julung kalinya Kerajaan Terengganu bersama-sama badan NGO lain telah menjayakan penganjuran 'Terengganu Bike Week' bertempat di Batu Burok Kuala Terengganu. Penganjuran ini telah membuka peluang kepada para peminat dan penunggang dari seluruh pelusuk negeri terutama dari pantai timur untuk bersama-sama berkumpul bagi memeriahkan majlis tersebut. Pelbagai kategori 'autoshow' dipertandingkan dari motor berkuasa besar sehingga motor-motor kapcai dan retro yang sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk turut serta memeriahkan 'autoshow' pada hari itu.



TB 4036 vespa keramat yang sudah siap sepenuhnya sudah pasti tidak ingin melepaskan peluang untuk sama-sama turun ke padang dan buat pertama kalinya menyertai pertandingan 'autoshow' bagi kategori vespa (Open).


Bagai pucuk dicita ulam mendatang, siapa sangka besi buruk yang baru siap dibaik pulih mendapat naib johan dalam kategori vespa (Open) pada hari 'autoshow' diadakan. Tidak dapat digambarkan perasaan ketika TB 4036 diumumkan selaku naib johan dalam kategori tersebut. Tidak ternilai kepuasan yang dapat dirasai dalam diri ini. Segala penat lelah, usaha dan wang ringgit yang dilaburkan untuk menjayakan usaha membaik pulih vespa ini telah membuahkan hasil.



Dengan pencapaian yang diluar jangkaan ini, saya pasti akan meneruskan keunikan skuter antik ini dan tidak akan mensia-siakan nilai sebuah vespa seperti di zaman kegemilangannya. Saya juga berharap generasi muda masa kini akan memupuk semangat yang sama untuk menghidupkan kembali nilai sebuah skuter besi bernama Vespa supaya ia tidak akan luput ditelan zaman.

Wassalam...



No comments:

Post a Comment